Skip to main content

Mendidik Melalui Ketularan

"Didiklah anakmu mengikut zamannya."

Barangkali ayat di atas adalah antara ayat dalam bidang pendidikan yang sering disalah erti apatah lagi disalah guna. Modernis bahkan majoriti berpendapat, petikan di atas memberikan isyarat bahawa kita, golongan lama ini, perlu beralah kepada teknologi dan dominasi golongan teknokrat. Ia turut mengisyaratan bahawa teknologi adalah hak dan kewajipan dalam kita membesarkan generasi muda kita. Petikan ini, menandakan kematian perenialisme dan pendekatan pendidikan lama.

Implikasinya, kita rela berhabis ribuan ringgit demi membestarikan sekolah dengan pelbagai kecanggihan peranti serta infrastruktur. Kita juga berhempas-pulas mengajar anak didik kita cara menggunakan teknologi agar mereka celik budaya moden dan tidak "tenggelam dek arus globalisasi". Percaya atau tidak, semua usaha berkenaan adalah propaganda? Ianya adalah indoktrinasi kultural yang bertujuan menghasilkan lebih ramai pengguna yang nantinya "terpaksa melanggani modernisasi". Ini cabang firasat Paul Mazur.

Yang lebih parah adalah kepercayaan kita bahawa kecemerlangan seiring literasi teknologi terkini. Sebenarnya, apabila seorang anak kecil tidak mahir alat telekomunikasi, itu bukanlah bermaksud dia gagal (atau guru gagal mengajar). Ia mengindikasikan bahawa kepandaian anak tersebut ada dalam lain fakulti kebijaksanaan. Ini sebenarnya yang harus diteroka dan dikembangkan dalam diri para pelajar kita, bukan pemaksaan teknokrasi.

Saya selalu berfikir, bahawa pendidikan adalah pengembangan jiwa, bukan penjumudannya. Modernisasi lewat tahun 2010an telah menjadi semacam dogma, pemerangkapan potensi manusia kepada yang bertujuang menjawab persoalan modernisasi sahaja. Bagaimana dengan apresiasi sejarah dan pengembangan kemanusiaan? Adalah mana-mana infrastruktur dapat memberikan pendidikan dari aspek ini? Bahkan talaqqi dilihat jauh berkesan.

Saya berasakan, maksud petikan pada awal entri adalah kita harus mendidik anak muda seiring cabaran zaman; bukan dengan memenuhi keinginan teknokrasi, namun dengan benar-benar mempersoalkan keabsahan keperluan-keperluan yang dipasarkan oleh globalisasi. Misalnya, globalisasi berkehendakkan penghapusan dunia tanpa sempadan: adakah kita harus akur bahawa sempadan antara yang hak dan yang batil perlu sirna juga?

Bukanlah bermakna kita harus mengambil sikap pesimis terhadap teknologi dan menolak kemodenan seperti yang pernah dilakukan Maryam Jameela dan Brelvi di India. Teknologi tidak pernah menjadi isu sentral. Isunya adalah sikap pendidik terhadap teknologi; kita tidak harus mewajipkannya ke atas diri dan anak-anak. Kita tidak harus mengorbankan etika selaku pendidik dengan menularkan perihal buruk klien kita demi mengejar populariti. Kita harus mempunyai batasan antara nyata dan maya.

Alangkah menyedihkan melihat video demi video, atau pos demi pos para pendidik memalukan anak didiknya. Alasan 'sebagai pengajaran' tidak boleh diterima pakai; hasrat tidak pernah menghalalkan cara. Kalau mau kongsi, kongsilah hal-hal yang memberi inspirasi, yang berdiri atau menular atas faktor kebaikan dan keberkesanannya dalam membentuk jiwa. Kalau mahu mendenda murid menggedik pun menggunakan kuasa viral, ternampak macam lemah pula kapasiti kependidikan kita. Kita pula jadi bergantung kepada teknologi.

Comments

Popular posts from this blog

Menyikapi Behaviorisme (Supra Ringkas)

Antara topik pedagogi yang paling senang diingati oleh mana-mana lepasan institusi perguruan adalah behaviorisme. Dalam terma yang paling ringkas, behaviorisme adalah pendekatan pedagogikal yang menggagaskan pembelajaran melalui peneguhan sikap. Teori ini mempunyai jenis peneguhan yang turut diringkaskan sahaja konsepnya di sini: peneguhan klasik, yakni pengamalan rangsangan-tindak balas yang bertujuan menjadikan suatu tindak balas sebagai sikap; peneguhan operan, yakni pengamalan tindakan-ganjaran yang bertujuan menetapkan tindakan yang telah dilakukan. Entah bagaimana, dalam sistem pendidikan, kita dimomokkan dengan pendapat bahawa teori ini tidak lagi sesuai digunakan kepada manusia, kerana ia kononnya merendahkan manusia kepada taraf anjing Pavlov, tikus Skinner dan spesimen Albert oleh Watson. Bakal pendidik digesa untuk meninggalkan pendekatan ini lantas beralih kepada pendekatan lebih bersifat kemanusiaan seperti demokrasi Dreikurs dan humanisme gagasan Rogers. Kita juga dise...

Perihal Pembentukan Disiplin Melalui Hukuman

Marilah kita berlaku adil kepada kedua-dua belah pihak. Pertama, sememangnya tidak ada had dan garis panduan yang dipersetujui dalam perihal menghukum serta mengganjari murid sekolah. Budi bicara guru menjadi ukuran asas kemunasabahan tindakan yang dilakukan. Kedua, tidak ada had dan garis panduan asas pula terhadap reaksi ibu-bapa atau penjaga dalam menyikapi hukuman dan ganjaran yang dikenakan kepada anak-anak mereka. Justeru, mereka dilihat bebas untuk membuat apa saja tindakan, termasuklah tindakan fizikal dan legal. Ini meletakkan kedua-duanya dalam situasi runcing, satu kurang mempercayai yang lagi satu. Noddings, sewaktu mengemukakan pedagogi berasaskan kebahagiaan, dikritik hebat oleh para pedagogi kontemporari. Mereka mengatakan bahawa pendirian Noddings yang menyeru guru mengutamakan pengajaran moraliti telah mengalih fokus pendidikan daripada menghasilkan manusia kompeten. Kritik mereka lagi, pendidikan sedemikian seharusnya didapatkan di rumah pelajar itu sendiri, bu...